welcome to pelanduk katang!

Followers

Friday, February 11, 2011

Cara belajar Sejarah


Strategi Belajar Sejarah
STRATEGI BELAJAR SEJARAH MENGGUNAKAN BUKU TEKS SEJARAH TINGKATAN III

Membaca untuk memahami dan mengingati isi kandungan dan fakta buku teks Sejarah Tingkatan III merupakan cabaran utama kepada guru dan calon PMR. Guru dan calon PMR perlu memahami
tiga perkara berikut sebelum membuat pembacaan dan mengulangkaji pelajaran iaitu:

1.1. Objektif terpilih bagi setiap bab (bagi membolehkan guru menggunakan buku teks secara maksimum)
1.2. Struktur buku teks yang dibahagikan kepada (pengenalan, pembahagian bab, objektif pembelajaran bab, peta konsep, teks teras, Pustaka Ilmu, takrif kata, grafik, klik net, uji minda dan ujian dan penilaian)
1.3. Strategi penggunaan buku teks Tingkatan III (guru sewajarnya menggunakan Buku Panduan Guru yang disediakan agar pengajaran lebih berkesan.

Di samping itu guru perlu memahami ilmu Bantu dalam Sejarah seperti Kemahiran Pemikiran Sejarah, aplikasi ICT dalam pendidikan dan teknik ‘belajar cara belajar’ bagi membantu calon PMR menguasai kandungan buku teks). Bagi membantu calon PMR menggunakan buku teks ini pula, penulis berusaha menghidangkan kaedah yang sudah dikaji dan diuji berkesan kepada calon.

Kaedah yang digunakan ialah kaedah

SQ3R : Tinjau, Tanya, Baca, Panggil Kembali dan Lihat Semula.
Kaedah SQ3R : Tinjau, Tanya, Baca, Panggil Kembali dan Lihat Semula.

Tinjau

Prinsip pertama tinjau adalah langkah untuk calon mendapat gambaran keseluruhan apa yang hendak dikaji dengan terperinci. Tinjauan buku boleh dibuat dengan cara:

a) membaca mukadimah (preface) buku teks. Dengan membaca ‘preface’ atau pengenalan calon akan tahu susunan buku, tujuan buku ditulis dan calon tahu persediaan yang diperlukan
untuk mengulangkaji buku inib) calon kemudian mengkahi jadual isi kandungan buku teks ini secara kasar. Ulangi kajian ini dari masa ke semasa kerana tajuk-tajuk itu sangat bermakna dalam peperiksaanc) baca tajuk-tajuk kecil dan rumusan dalam bab itu

Calon PMR dapat memahami buku ini ditulis mengikut Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR. Tingkatan III. Susunan bab dan tajuk mengikut tema 5 dan 6. Tema 5 : Perjuangan Rakyat ke Arah Kemerdekaan Tanah Air Tema 6 : Pembentukan Persekutuan MalaysiaTema 5 dan 6 ini pula dibahagikan kepada 7 bab iaitu:

Bab 1 : Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
Bab 2 : Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu
Bab 3 : Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat
Bab 4 : Kerjasama Antara kaum Ke Arah Kemerdekaan
Bab 5 : Kemerdekaan Negara 31 Ogos 1957
Bab 6 : Perubahan Pentadbiran ke Arah Berkerajaan Sendiri di Sarawak dan Sabah
Bab 7: Malaysia yang Berdaulat

Peta Konsep – merupakan intipati bagi setiap bab bagi memberikan gambaran yang menyeluruh

Teks Teras – setiap bab mempunyai topik dan subtopik yang mengandungi huraian bagi tajuk bab itu

Pustaka Ilmu – murid dan guru boleh merujuk maklumat tambahan untuk menambah ilmu pengetahuan

Takrif Kata – menjelaskan sesuatu konsep atau istilah yang kurang difahami oleh calonGrafik – terdapat gambar, foto, jadual, carta masa, rajah, logo, peta dan statistik untuk menjelaskan kandungan

Klik Net – ICT merujuk laman web yang memberi penerangan lanjut kepada guru dan murid untuk melayarinya secara penerokaan

Uji Minda – membantu guru dan murid mengingati fakta asas sebelum berpindah bab

Ujian dan Penilaian – membantu menilai sejauhmana guru dan murid memahami kandungan keseluruhan bab itu.

TanyaKebanyakan perkara yang paling diingati dalam dunia ini ialah jawapan daripada pertanyaan. Ramai calon lebih mengingati jawapan daripada apa yang mereka tanya daripada apa yang mereka pelajari.

Soalan menyebabkan calon berfikir. Secara amnya soalan yang perlu dikemukakan oleh calon ialah:
Apa ? = Peristiwa Sejarah
Siapa ? = Tokoh dalam Sejarah
Bila ? = Pertarikhan dalam Sejarah
Di mana ? = Lokasi atau tempat kejadian
Mengapa ? = Peyebaban dalam Sejarah
Bagaimana ? = Kronologi dalam Sejarah

Jawapan kepada siapa, apa bila dan mana memberi jawapan kepada fakta sejarah. Pertanyaan begini mesti dibiasakan semasa membaca.

Membaca
Apabila membaca, baca semuanya. Ini termasuklah graf, jadual, gambar, carta, illustrasi dan sebagainya. Semua calon mesti berusaha untuk memahaminya semasa proses membaca.

Panggil Kembali
Semasa membaca teks tersebut, calon mesti memanggil kembali secara lisan ataupun menulis fakta di atas kertas. Tujuannya ia memberitahu calon apa yang dia belum ingat dan fakta yang
sudah diingat.

Lihat Semula
Lihat semula ialah proses untuk mengetahui dan mengesahkan apa yang calon telah baca dan memahaminya. Calon perlu membaca dengan pantas dan pastikan tidak ada bahan yang tertinggal dari bacaan.

Teknik Mengenalpasti Kandungan Buku Teks Berdasarkan Kehendak Soalan PMR

Dalam rencana ini calon PMR diberi pendedahan tentang fokus soalan sejarah PMR. Membaca dan menghafal fakta sahaja tidak mencukupi untuk menguasai kemahiran Sejarah. Calon perlu
membiasakan diri dengan kehendak soalan dalam kertas Sejarah PMR.

Calon PMR perlu mengetahui jenis dan stail soalan yang sering dikemukakan dalam peperiksaan. Calon PMR perlu rajin membaca buku teks dan mengulangkaji soalan kandungan buku teks berdasarkan aspek-aspek berikut:

Fokus Kandungan Buku Teks Dalam Setiap Bab
1 Konsep / istilah sejarah
2 Sebab / faktor peristiwa sejarah / tujuan3 Kesan peristiwa sejarah
3 Kronologi / urutan peristiwa
4 Tokoh dalam sejarah
5 Perjanjian penting dalam sejarah
6 Organisasi / pertubuhan/ parti politik /institusi/tempatan, serantau dan antarabangsa
7 Ikhtibar / nilai murni peristiwa sejarah

Buku Teks Sejarah Tingkatan III memberi penekanan kepada aspek pengetahuan sejarah, kemahiran sejarah dan nilai dalam sejarah. Pengetahuan sejarah amat penting untuk menjawab soalan sejarah.

Calon PMR perlu memahami sesuatu idea sejarah dan berusaha untuk menguasainya. Bagi menguji kemahiran calon menggunakan fakta sejarah, peta, gambar rajah, rajah, peribahasa,
puisi, pernyataan, senarai, petikan, jadual, maklumat dan sebagainya turut disertakan.

( 1 ) Mengenalpasti Definisi, Makna dan Istilah
Calon PMR perlu memahami konsep dan istilah penting dalam pelajaran Sejarah. Jika calon tidak memahami istilah yang digunakan pengarang, maka calon sukar memahami isi kandungan keseluruhan bab itu. Terdapat pelbagai cara untuk mengetahui istilah sejarah dalam buku ini. Misalnya sesuatu istilah atau konsep itu dicetak secara bold atau dicondongkan.
Contohnya takrif kata ‘feudal’, ‘imperialis’ (hlm : 87), ‘kader’, ‘kegiatan PKM’ (hlm : 88), ‘Baju Hijau’, ‘Home Guard’, ‘Special Constable’ (hlm : 93), ‘Min Yuen’, ‘Rancangan Briggs’, ‘Kampung Baru’, (hlm : 94), ‘Gerakan Kelaparan’, (hlm : 95), ‘Perang Saraf’ (hlm : 98), ‘Kawasan Hitam’, ‘Kawasan Putih’, ‘Perintah Berkurung’ (hlm : 100), ‘Pertemuan Baling’, (hlm : 104), dan ‘Community Liaison Committee’ (CLC) . Rujuk takrif kata yang disediakan.

Calon lebih menguasai isi kandungan buku teks jika lebih berusaha mengenalpasti istilah atau konsep yang digunakan di dalam buku teks. Sejarah mengandungi banyak idea dan konsep yang perlu dikuasai. Konsep amat penting untuk membantu calon PMR menggambarkan peristiwa sejarah. Konsep terbentuk daripada perkataan atau idea yang perlu dijelaskan dengan contoh yang sesuai. Calon PMR perlu memahami sesuatu makna atau maksud perkataan tertentu untuk memahami sesuatu konsep Sejarah.

Fakta Sejarah mempunyai kaitan dengan konsep kerana fakta merupakan maklumat yang membantu menghuraikan sesuatu konsep. Pentafsiran yang tidak tepat terhadap fakta atau pemahaman yang terpesong terhadap sesuatu konsep sejarah menyebabkan calon memilih pilihan jawapan yang tidak tepat.

( 2 ) Mengenalpasti Sumbangan atau Peranan Tokoh
Calon PMR perlu mengulangkaji biografi tokoh penting tanahair. Terdapat banyak soalan mengenai tokoh sejarah yang dikemukakan dalam Kertas Sejarah PMR. Kajian tentang tokoh amat penting dalam Sejarah. Ini kerana manusia merupakan isu utama dalam pergolakan Sejarah.

Oleh sebab itu calon PMR perlu didedahkan dengan maklumat tokoh penting yang menceritakan tentang kepimpinan dan ketokohan mereka yang ditonjolkan dalam pelajaran Sejarah. Kajian tokoh sangat penting untuk menghargai perjuangan dan pengorbanan mereka pada masa lampau.

Misalnya Sir Harold Briggs, Sir Gerald Templer, Sir Edward Gent, Sir Henry Gurney, Dato’ Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak bin Hussein, Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain.

Soalan tokoh berfokus kepada kejayaan dan sumbangan utama tokoh kepada negara kita. Jika seseorang tokoh mempunyai terlalu banyak sumbangan, lihat sumbangannya yang paling besar
kepada negara kita. Baca serba sedikit butir penting latar belakang, pendidikan dan teliti gambar foto atau illustrasi mereka (jika ada) untuk memudahkan kita membuat pengecaman.

Buat pengelompokan, pengelasan dan penzamanan setiap tokoh. Lihat persamaan dan perbezaan corak perjuangan mereka pada setiap zaman.

( 3 ) Mengenalpasti Penyebaban atau Kesan Peristiwa Sejarah Sejarah tidak boleh dipisahkan dengan sebab (penyebaban) dan akibat (kesan) sesuatu peristiwa. Sejarah merujuk kepada tanggapan umum seperti sebab yang mendorong penyebaran agama Islam dalam Kerajaan Melayu Melaka dan kesannya.

Satu cara yang mudah untuk memahami aspek ini ialah melalui peta konsep. Calon perlu memilih sesuatu tajuk pelajaran Sejarah seperti sebab, faktor, kesan dan implikasi sesuatu peristiwa Sejarah. Pemetaan konsep memberi gambaran menyeluruh dan menunjukkan
pertalian antara satu fakta dengan fakta yang lain.

Contohnya sebab pengisytiharan darurat dan kesannya. sebab pembentukan Persekutuan 1896 dan kesannya. Calon perlu mengenalpasti semua faktor tersebut.

( 4 ) Mengenalpasti Pertubuhan Politik dan Bukan Politik

Terdapat soalan mengenai organisasi setempat seperti Parti Komunis Malaya (PKM), MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) Force 136 (MPAJA), Malayan Races Liberation Army (MRLA), AWAS, PETA, PERAM, PKMM, Malayan Chinese Association (MCA), UMNO dan sebagainya. Calon perlu memahami latar belakang penubuhan, sebab penubuhan, tokoh yang terlibat, matlamat penubuhan, sumbangan dan impaknya kepada sejarah negara.

( 5 ) Mengenalpasti Perjanjian Penting Dalam Sejarah.

Terdapat banyak perjanjian penting yang memberikan kesan kepada perkembangan sejarah, politik, ekonomi dan sosial negara kita. Setiap perjanjian mempunyai sebab mengapa ia dimetrikan.

Setiap perjanjian juga mempunyai syarat yang berbeza dengan perjanjian lain. Jika perjanjian tersebut memberi kesan yang besar kepada sejarah tanahair maka lebih kerap pula disoal dalam peperiksaan. Apabila seseorang calon mengulangkaji sesuatu perjanjian, pastikan calon meneliti

a) Tahun perjanjian itu ditandatangani
b) Sebab ia ditandatangani
c) Pihak yang menandatangani perjanjian itu
d) Syarat penting atau isi penting sesuatu perjanjian dan
e) Kesan sesuatu perjanjian kepada persejarahan negara

Selain itu terdapat satu aspek lagi yang tidak kurang pentingnya untuk diberi perhatian iaitu tempoh masa atau periodasi atau penzamanan dalam Sejarah. Peristiwa dan fakta Sejarah tidak boleh dipisahkan daripada tarikh. Tanpa tarikh sesuatu peristiwa sukar dibuktikan sebagai bersejarah. Kebenarannya sudah tentu dipersoalkan sebagaimana cerita mitos dan legenda.

Memang diakui umum terdapat banyak tarikh dalam Sejarah. Tetapi perlu diingatkan bahawa, Kertas Sejarah PMR tidak pernah membebankan calon PMR dengan soalan berkaitan tarikh. Ingat tarikh bagi peristiwa penting sahaja. Jika tarikh sukar diingati, cuba ingat peristiwa tersebut sama ada berlaku di awal, pertengahan atau di akhir sesuatu kurun.

Berikut ialah beberapa contoh perjanjian yang kerap ditanya dalam soalan Sejarah PMR.

( 6 ) Mengenalpasti Unsur Patriotisme, Nilai Murni dan Ikhtibar Dalam Sejarah

Mata pelajaran Sejarah penting untuk memupuk nilai bagi membentuk warga negara yang bertanggungjawab. Nilai politik, ekonomi, sosial dan intelektual yang terdapat dalam pendidikan Sejarah mampu mencorakkan perkembangan personaliti dan karisma seseorang murid.

Soalan Sejarah PMR mengemukakan soalan nilai dan ikhtibar daripada peristiwa bersejarah. Soalan ini menggalakkan calon PMR berfikir dan membuat keputusan sendiri berdasarkan fakta Sejarah yang dipelajari.

Contohnya:
‘Penubuhan pasukan ‘Home Guard’ telah meniupkan semangat yang berkobar-kobar di kalangan rakyat untuk mempertahankan negara. Kesanggupan dan keberianian orang Melayu melawan pengganas secara berhadapan amat mengagumkan Pesuruhjaya Tinggi British pada masa itu.’

Tujuan penting peperiksaan ialah untuk mendapatkan maklumat pencapaian calon. Kategori soalan yang dikemukakan meliputi pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan menilai.

Meskipun ada soalan nilai-nilai murni dan semangat patriotisme, calon mesti menguasai fakta sejarah di dalam buku teks kerana hampir keseluruhan soalan Kertas Sejarah PMR berpandukan buku teks. Sebagai latihan dan persediaan peperiksaan PMR 2005, calon diminta merujuk buku teks Sejarah Tingkatan Satu, Tingkatan Dua dan Buku Teks Sejarah Tingkatan Tiga.

Sila jawab Latihan Sejarah PMR berikut dan bandingkan jawapan calon dengan jawapan berdasarkan rujukan buku teks yang diberi. Akhir kata, Selamat Belajar.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment