welcome to pelanduk katang!

Followers

Monday, February 6, 2012

Sajak Sejarah 2011


TAHUKAH WAHAI BANGSAKU SEJARAH ASAL-USUL
NEGARAMU 446 TAHUN YANG LALU ?
 ( 24hb. Ogos 1511 - 31hb. Ogos 1957 )
Sedutan daripada Buku Teks Sejarah Tingkatan 1 hingga 5  
untuk dihayati oleh warga sekolah dan bangsa 1 Malaysia
Sempena
Sambutan Hari Kemerdekaan Kali ke-54
31 Ogos 2011
 
Sedarkah wahai bangsaku?
Telah 54 tahun kita merdeka

Ingatkah wahai bangsaku?
Tarikh kemerdekaan negaramu, tarikh keramat 31 Ogos 1957?

Bangsaku?
Kita generasi merdeka
tidak  memahami pahit getir..
liku perjuangan nenek moyang
yang telah berjuang mempertahankan maruah,
yang telah menggadai darah dan nyawa untuk negara,
yang telah berjuang untuk membebaskan Melaka daripada Portugis,
yang telah berjuang untuk membebaskan Melaka daripada Belanda,
yang telah berjuang demi pembebasan daripada British, Jepun dan Parti Komunis Malaya.

Tahukah wahai bangsaku sejarah asal-usul negaramu?.
24 Ogos 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis
Biar datuk nenek moyangmu Sultan Mahmud Shah telah berusaha
namun Melaka gagal di tawan semula
Bezanya kita hanya menggunakan keris, panah, sumpit beracun, perisai,
tombak dan senjata tradisional
....Tetapi....
Portugis menggunakan senjata lebih canggih
meriam yang boleh menembak dari jarak yang lebih jauh
dan organisasi ketenteraan yang lengkap
Alfonso De Albuquerqe, pemimpin yang teguh
Askar Portugis yang terlatih
Dan disokong tentera mereka di Goa,India.
....Tetapi....kita...
Hanya ada askar upahan Melaka dari Jawa yang tidak setia,
yang lari semasa Portugis menyerang Melaka
Akhirnya Melaka ditawan
kita kalah...moyang kita kalah...
bangsa kita kalah...kita malu...
moyang kita...Sultan Ahmad Shah dan ayahndanya Sultan Mahmud Shah...
lari...bersama-sama...keluarganya, pembesar-pembesarnya dan rakyat-rakyatnya
ke Muar, kemudian ke Pahang dan kemudian ke Bentan...
Bayangkan bangsaku...jika kita menjadi rakyat Melaka pada waktu itu...
bagaimana kita...bagaimana nasib anak cucu kita...
bagaimana?..bagaimana...?
sanggupkah kita menjadi pelarian di bumi sendiri...?

Tahukah wahai bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
            Kini,
Melaka tidak bersultan lagi...
namun perjuangan harus diteruskan
Warisan Kesultanan Melayu Melaka yang bertapak di Johor...,
Tun Sri Lanang dan Laksamana Tun Abdul Jamil 
sentiasa berusaha
untuk menawan semula negeri Melaka...
malangnya mereka gagal
walaupun  bergabung dengan tentera Perak, Pahang dan Jawa

Tahukah wahai bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
Perjuangan tidak terhenti di situ sahaja
Melaka perlu ditawan semula
Johor bergabung dengan Belanda
Tapi nasib belum menyebelahi mereka
Akhirnya Portugis  dapat dikalahkan
Laksamana Tun Abdul Jamil mengetuai angkatan Johor
mengepung Melaka dari darat
Belanda menyerang Melaka dari laut...
Malangnya, setelah berjaya,
Tun Abdul Jamil ditipu BELANDA...
1641, BELANDA pula menjajah  Melaka
Nasib Melaka...selepas PORTUGIS, BELANDA pula
Itulah bangsaku...bukan mudah mendapatkan kuasa semula
bukanlah mudah...
kita perlu belajar daripada peristiwa kejatuhan Melaka..
Sama-sama kita pertahankan kerajaan
Jangan sampai penjajah berkuasa semula...
Ingat bangsaku....!

Tahukah wahai bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
Tahukah apa yang telah berlaku di Kedah?
1786, Francis Light dibenarkan menduduki Pulau Pinang
Janjinya membantu Kedah hadapi ancaman Siam
Tetapi Sultan Abdullah terpedaya
Janji Inggeris tidak dikota
Francis Light terus berkuasa
Sultan Abdullah berputih mata...
Dari tentera Siak, Riau dan Selangor bantuan dipinta
Namun Pulau Pinang gagal ditawan semula
Francis Light dibantu oleh tentera British
Kita kalah lagi...sultan kita kalah lagi...
Akhirnya... 
1  Mei 1791
Perjanjian Persahabatan dan Keamanan Inggeris - Kedah ditandatangani
Sultan Abdullah iktiraf Inggeris duduki Pulau Pinang secara rasmi
Sejarah berubah lagi
George Leith Gabenor Pulau Pinang pertama berbangsa Inggeris
            Satu demi satu tanah tercinta terjajah
1800, Seberang Prai rebah ke tangan British berdebah
Malang terus menimpa Melaka
selepas Portugis, Belanda...British pula...

Tahukah wahai bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
Inggeris tidak pernah jujur
Singapura ingin dirampas daripada Johor
Inggeris terus berhelah
Sultan Hussein yang berdarah gahara dijadikan alat
Sultan Johor menjadi dua
Sultan Hussein bersemayam di Singapura
Sultan Abdul Rahman bersemayam di Lingga
Stamford Raffles menjadi barua
Pelbagai perjanjian diatur
Tanggal 2 Ogos 1824, Sultan Hussein terpaksa akur
Singapura terlepas kepada Inggeris...
Johor berputih mata Stamford Raffles punya angkara
            1826 Negeri-Negeri Selat ( NNS ) dibentuk
            Pulau Pinang, Singapura dan Melaka menjadi mangsa
            Memang itulah hasrat British
            Hak Malaya mahu dikikis

Tahukah wahai bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
            Kurun 18
Revolusi Perindustrian berlaku di England
            Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang jadi sasaran
bijih timah diperlukan
menyokong industri kilangnya di England
1874 British mula campurtangan
perebutan kuasa dan huru-hara dijadikan alasan
kepincangan politik Melayu membuka peluang
Di Perak...
Ghee Hin dan Hai San kumpulan kongsi gelap Cina
Berebut kuasa dan Perang Larut pun bermula
Tanpa fikir
Ngah Ibrahim menjemput Kapten Speedy
Penyelesaian dicari
keadaan huru hara raja-raja Melayu berebut takhta
Andrew Clarke ambil kesempatan
1874, Perjanjian Pangkor ditandatangani
penguasaan British di Perak pun bermula

Di Selangor...
Perselisihan  Raja Abdullah dan Raja Mahadi
Menimbulkan Perang Kelang
Tengku Kudin minta bantuan British
Melalui serangan rumah api di Tanjung Rachado
J.G Davidson dilantik residen pertama
Frank Swettenham Penolong Residen
Selangor pula menjadi mangsa

Di Negeri Sembilan,
Pertelingkahan Dato Kelana dan Dato’ Bandar
Sungai Linggi jadi rebutan
P.J Murray residen pertama
Bermula penguasaan British di Negeri Sembilan

Di Pahang,
Kematian Go Hui dijadikan alas an
untuk British campurtangan
J.P Rodger Residen British yang pertama

1896 Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang
disatukan menjadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ( NNMB )
Sultan kita kehilangan kuasa
kewangan dan cukai eksport dikuasai British
Jabatan Kehakiman, Jabatan Kewangan,
Jabatan Perhubungan dan Perkhidmatan Awam
Ketuanya adalah pegawai-pegawai British
Kuasa Sultan dan Majlis Mesyuarat Negeri
diambil alih oleh Residen Jeneral

Tahukah bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
British bimbang dengan negeri-negeri di Utara Tanah Melayu pula
1902, British  tandatangani perjanjian Peristiharan British-Siam
British iktiraf negeri-negeri Melayu Utara di bawah naungan Siam
W.A Graham di Kelantan,
Meadowe Frost  di Kedah 
H.E Duke di Perlis
British beri amaran kepada Kelantan dan Terengganu
jangan beri konsesi kepada kuasa asing lain.
1909, Kerajaan Siam serahkan Negeri-Negeri Melayu Utara kepada British
melalui Perjanjain Bangkok.
Tanpa berunding dengan raja-raja Melayu
Raja-raja Melayu  terpaksa akur dengan keputusan perjanjian tersebut
Akhirnya Raja-raja Melayu di Utara
terpaksa menerima Penasihat British juga:

Di Kedah, George Maxwell, Penasihat British 1910
Sultan Abdul Halim Shah tidak bersetuju

Di Perlis, Raja Syed Alwi enggan menerima Kapten Meadowe Frost
menguasai Jabatan Hasil Dan Cukai, Mahkamah Tinggi
dan Mahkamah Kadi, Jabatan Kewangan

Di Kelantan, Sultan Muhammad IV terpaksa menerima J.S Mason.
British menguasai Mahkamah Tinggi, Jabatan Polis dan Pejabat Tanah

Di Terengganu, British Lantik W.L Conlay pada 1910.
Sultan Zainal Abidin III bantah.
Sultan Zainal Abidin mangkat diganti Sultan Muhammad II,
British lantik pula  J.L Humphreys sebagai Penasihat British.
Jabatan Kastam,Perubatan,Kerja Raya,Tanah Galian di kuasai British

Di Johor,
Sultan Johor mengelak daripada menerima Penasihat British
1914, Douglas Campbell dilantik Penasihat British Johor

Di Sarawak,
Keluarga Brooke yang memerintah
Raja Putih Sarawak sebagai gelaran
1841-1941 tempoh berkuasa
James Brooke, Charles Broooke dan Charles Vyener Brooke
Adalah pemerintahnya

Di Sabah,
Ditadbir oleh Syarikat Borneo Utara British ( SBUB )
dari tahun 1823 hingga tahun 1941

Tahukah bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
Penindasan British meniup semangat
Disetiap negeri muncul wira yang sanggup mati,
pejuang-pejuang Melayu
Dol Said di Naning 1831-1833
Linggir, Rentap dan Syarif Masahor di Sarawak  1849
Penentangan Mat Salleh di Sabah
Dato’ Maharaja Lela di Perak
Yam Tuan Antah di Negeri Sembilan
Dato’ Bahaman di Pahang
Tok Janggut di Kelantan
Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu
Melayu telah sedar
British menguasai segala
Kekayaan kita dipunggah ke negara mereka

Tahukah  bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
            15 Februari 1942 hingga 12 September 1945
Tanah Melayu  ditakluki JEPUN pula,
Tambah derita rakyat jelata
Siksa dan pedih hidup nenek moyang kita...
Mereka jauh dari kemewahan
Mereka jauh dari kesenangan

Tahukah bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
Selepas Jepun menyerah kalah
PARTI KOMUNIS MALAYA pula mahu menjadi juara
Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) atau Bintang Tiga
14 hari berjaya menguasai Tanah Melayu
Keganasan tidak terkata
Malang terus melanda
Itulah nasib nenek moyang kita

Tahukah bangsaku sejarah asal-usul negara mu?
Selepas PARTI KOMUNIS MALAYA,
Inggeris  kembali ke Tanah Melayu
1 April 1946 Malayan Union diperkenalkan,
Melayu membantah
Inggeris tak betah,1 Februari 1948 Persekutuan Tanah Melayu pula disaran
Tetapi malang, Jun 1948, Darurat berlaku
23 Julai 1948
Parti Komunis Malaya diharamkan
Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum Ke Arah Berkerajaan Sendiri ditubuhkan
Sistem Ahli juga diperkenalkan
Untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu 
Rombongan Merdeka telah ke London
Perjanjian London ditandatangani
Suruhanjaya Reid dibentuk
Perlembagaan Merdeka dirangka
Dan akhirnya, kita berjaya
Pemasyhuran merdeka diistihar
31 Ogos 1957 tarikh keramat
Laungan merdeka Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj disambut rakyat
Bersama air mata dan semangat

Tahukah bangsaku sejarah asal-usul negaramu?
            Kini Negara kita telah merdeka...
            Adakah hak kedaulatan kita masih terancam?
Pulau Batu Putih milik kita dulu
            Telah terlepas ke tangan orang
         
Bangsaku....
            446 tahun lamanya tanah ini dijajah
            Biarlah tanah ini menjadi milik kita selama-lamanya
            Kemana kita akan lari?
            Kemana anak cucu kita akan pergi?
            Kalau bukan di tanah ini...
            Bangsaku....
belajarlah daripada sejarah
            Jangan ulangi kesilapan  lalu
Marilah kita  bina kekuatan baru...
            Di atas keruntuhan Kota Melaka
            Mari kita dirikan negara merdeka
Negara 1 Malaysia yang gagah perkasa
Kepada Allah Yang Satu
Doa dan harapan dipanjatkan
Peliharakanlah kemerdekaan ini
Kerana di tanah bertuah ini
Kami singgah sementara cuma
Mencari bekalan  untuk dibawa
Ke bumi Mu yang kekal abadi 

1 comment:

  1. boleh x saye nak sajak pasal parameswara??
    Saye nak sajak pasal parameswara....

    ReplyDelete