welcome to pelanduk katang!

Followers

Saturday, February 11, 2012

KONGSI INFO

Oleh Muhamad Razak Idris
Disiar di Berita Harian, 10 November 2011
PROFESOR Emeritus Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 28 Oktober 2010 lalu sempat meninggalkan ‘formula’ bagaimana konflik di Selatan Thailand atau Pattani harus ditangani dan diselesaikan oleh kerajaan Thailand. Formula penyelesaian Nik Anuar ini dibukukan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagi menghargai sumbangan pemikiran beliau terhadap masyarakat dan negara, satu majlis Syarahan Kenangan Nik Anuar dilangsungkan ATMA baru-baru ini yang disampaikan Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Ternyata, Nik Anuar sebagai seorang ilmuwan dalam bidang sejarah harus dikenang terutama oleh generasi muda negara ini. Sumbangan dan ketekunan beliau dalam bidang ilmu pengetahuan terutama bidang sejarah Malaysia dan isu persempadanan seperti pembabitan beliau dalam kumpulan penyelidikan isu tuntutan bertindih Pulau Ligitan dan Sipadan serta Pulau Batu Putih. Satu daripada sumbangan pemikiran Nik Anuar yang penting ialah dalam sejarah Siam atau Thailand. Penumpuan beliau dalam kajian ini membawa Nik Anuar menelusuri penuh teliti punca konflik melanda Selatan Thailand yang sehingga kini belum berkesudahan.

Dalam bukunya, Mencari Perdamaian di Asia Tenggara, Merungkai Konflik di Selatan Thailand, Nik Anuar menjelaskan kegagalan penyelesaian konflik itu berpunca daripada ‘keengganan kerajaan Thailand melihat masalah di tiga wilayah itu dari perspektif sejarah’. Beliau menambah sejarah sudah membuktikan ibu segala masalah di wilayah itu ialah apabila Pattani dikecualikan daripada perjanjian Bangkok 1909.
Untuk makluman, pada perjanjian Bangkok 1909, hanya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis saja diserahkan kepada Britain, manakala Pattani yang juga antara wilayah penting kerajaan Melayu-Islam ketika itu kekal sebagai sebahagian tanah jajahan Siam. Keadaan ini terpaksa dilakukan demi kepentingan Britain di Asia Tenggara iaitu bagi memastikan Siam tidak menjemput kuasa luar lain menguasai Tanah Besar Asia Tenggara. Dalam kata lain, Pattani adalah taruhan bagi menjaga hati Siam walaupun diketahui bahawa ia salah sebuah kerajaan Melayu-Islam yang penting ketika itu.
Pengekalan Pattani sebagai tanah jajahan Siam memburukkan keadaan dan mengukuhkan gerakan penentangan terhadap kerajaan Siam yang sebenarnya sudah wujud sejak negeri itu ditakluki Siam pada 1786. Sepanjang sejarahnya, Siam sudah menjayakan banyak langkah bagi mengukuhkan penguasaannya di Pattani. Menurut Nik Anuar, antara langkah kontroversi ialah pengenalan sistem Thesaphiban iaitu satu kaedah pentadbiran di mana pentadbiran wilayah dikumpulkan dan ditadbir seorang pesuruhjaya. Menerusi sistem ini, autonomi atau kedaulatan pemerintahan Raja Pattani mula terhakis.
Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila pemerintah Siam memperkenalkan dasar Thai Rathaniyom atau program asimilasi budaya dan adat Thai secara paksaan. Dasar ini ternyata mendorong kebangkitan perjuangan rakyat Pattani. Mereka mula berasakan jati diri mereka telah diceroboh dan masa depan ketamadunan mereka bakal runtuh menerusi dasar paksaan kebudayaan. Beberapa nama pejuang awal Pattani ialah antaranya Haji Mat Pauh, Tuan Guru Haji Bermin atau Haji Wan Ahmad bin Wan Idris, Haji Hasan dan Haji Abdullah Embung bangkit bagi menghalang usaha penjajahan secara kebudayaan ini.
Inilah sebahagian kutipan ringkas penjelasan Nik Anuar mengenai sejarah konflik dan perjuangan rakyat Pattani bagi mempertahankan maruah dan jati dirinya. Sehingga saat ini, perjuangan ini belum tamat. Ia menjadi lebih rumit lagi sejak berlakunya peristiwa berdarah di masjid Krisek dan pembunuhan di Tabal pada 2004.
Bagi Nik Anuar, konflik di Selatan Thailand ini boleh diselesaikan menerusi formula berikut: Kerajaan Thailand perlu mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan satu bentuk Pentadbiran Istimewa di wilayah majoriti Melayu. Pentadbiran ini akan diurus oleh penduduk tempatan dalam kerangka negara Thailand. Kerajaan Thailand perlu menerima hakikat akan keunikan orang Melayu. Mereka mesti diberi kebebasan untuk mengamalkan adat resam dan kebudayaan mereka. Kerajaan Thailand perlu mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi wilayah berkenaan, manakala agama Islam diberi keistimewaan khusus. Hubungan antara wilayah istimewa dengan kerajaan Pusat perlu berasaskan kerangka federalisme. Wilayah istimewa perlu diberi hak yang adil ke atas hasil kekayaan ekonomi yang dimiliki. Pejuang perlu meletak senjata dan menyertai rancangan penempatan atau demobilisasi. Pelaksanaan perjanjian ini mesti dipantau oleh badan antarabangsa bagi memastikan kejayaannya. Begitulah lima formula penyelesaian konflik Selatan Thailand menurut Nik Anuar. Bagi beliau, keamanan di Selatan Thailand harus diberi perhatian kerana ia akan menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat Asia Tenggara secara keseluruhannya.
Bagi Nik Anuar, inilah formula terbaik dan ia boleh dijayakan sekiranya kerajaan Thailand ikhlas bagi menamatkan konflik yang melanda sejak sekian lama. Begitulah sumbangan ahli ilmuwan kepada masyarakat. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan seumpama Nik Anuar. Ahli ilmuwan ibarat pelita penyuluh kegelapan. Dalam syarahan yang diberikan, Prof Dr Abdullah menggelarkan Nik Anuar sebagai ‘Sejarawan Dalam Kenangan’.

No comments:

Post a Comment