welcome to pelanduk katang!

Followers

Friday, October 11, 2013

KEJAYAAN MALAYSIA

Malaysia dikatakan sebagai sebuah negara yang telah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Kemajuan negara pada hari ini telah menempa nama di seantero dunia. Bincangkan kemajuan negara Malaysia pada hari ini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang. Bidang yang dikecapi termasuklah perusahaan automobil, pembinaan bangunan pencakar langit, aeroangkasa, pengangkutan dan perhubungan,  serta bidang sukan. Kejayaan-kejayaan luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu menandingi kejayaan yang ditempa oleh orang barat yang jauh lebih maju daripada kita. Kejayaan Malaysia dalam pelbagai mampu menyuntik semangat ingin cuba dalam kalangan anak watan untuk meneroka bidang-bidang yang baru. Secara tidak langsung, Malaysia mampu berusaha untuk mencapai kejayaan mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020.
 
Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan mercu kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. Di Malaysia, terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu Syarikat Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Outomobil Kedua Sdn.Bhd (PERODUA). Syarikat PROTON berjaya mengeluarkan kereta Proton Saga pertama di Malaysia pada 9 Julai 1985. Kejayaan ini telah menandakan bahawa negara Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri setanding kereta asing. Melalaui syarikat PERODUA pula, kereta yang dihasilkan termasuklah Kancil, Kenari, Kelisa, Myvi , Viva dan lain-lain. Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat Malaysia membolehkan kereta nasional dieksport ke luar negara seperti Australia, Singapura, United Kingdom dan sebagainya. Hasil eksport kereta nasional menyumbang besar dalam pendapatan negara. Contohnya, pada tahun 2006, Malaysia telah mengeksport 20,675 unit kereta penumpang ke luar negara yang telah menambahkan hasil Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) dengan jumlah RM 554.9 juta.

Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS merupakan bangunan mercu tanda kemajuan negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan tersebut terletak di Kuala Lumpur. Menara Kuala Lumpur dibina pada tahun 1995. Menara ini mempunyai bentuk yang tirus dan ketinggiannya ialah 421 meter. Reka bentuk menara ini banyak dipengaruhi oleh seni bina Islam dan berfungsi sebagai menara komunikasi untuk mempertingkatkan khidmat telekomunikasi. Bagi bangunan Menara Berkembar PETRONAS, bangunan ini merupakan menara kembar tertinggi di dunia yang mempunyai ketinggian 452 meter. Menara Berkembar PETRONAS direka oleh arkitek Cesar Pelli dan disiapkan pada Mac tahun 1996. Menara ini mempunyai cirri-ciri keselamatan yang unik dan pertama kali digunakan di Malaysia. Jika berlaku bencana alam seperti gempa bumi, menara ini akan condong mengikut tiupan angin kencang hingga 1.5 meter. Ciri-ciri istimewa menara ini telah menjadi destinasi pelancongan dan menarik banyak pelancong asing melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun.

Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila kita berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I dan MEASAT II pada bulan September 2000. Malaysia juga melancarkan mikrosatelit yang pertama ,iaitu TIUNG SAT ke angkasa lepas. Pelancaran satelit ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang mempunyai satelit angkasanya sendiri. Kejayaan pelancaran ini merupakn permulaan kepada teknologi penerokaan angkasa lepas pada 10 Oktober 2007. Sememangnya, program penghantaran angkasawan negara yang pertama telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Program ini telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar mata pelajaran sains dan teknologi. Oleh itu, Dr Sheikh Musazaphar Shukor Sheikh Mustapha berperanan sebagai “Duta Angkasa Malaysia” untuk menyebarkan ilmu sains angkasa ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam bidang angkasawan.

        Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa nama Malaysia di seantero dunia. Di Malaysia, terdapat sistem pengangkutan yang terkenal seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA), Sistem Transit Ringan(LRT), KTM, PUTRA, monorail, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Terowong SMART. KLIA ialah lapangan terbesar di negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara. KLIA telah terpilih sebagai lapangan terbang yang pertama sekali di dunia untuk dianugerahkan Sijil Airport Service Quality(ASQ) yang diberi daripada Airport Council International(ACL). Selain itu, sistem pengangkutan seperti Sistem Transit Ringan(LRT), KTM, monorail dan PUTRA menjimatkan masa,wang dan tenaga kepada pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka. Perkembangan teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong SMART dibina di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Terowang SMART merupakan lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan mempunyai struktur jalan dan perparitan yang sepanjang 9.7 kilometer. Pembinaan terowang ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.

         Pemain-pemain sukan di Malaysia juga mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Pemain sukan wanita yang terkenal di Malaysia ialah Nicol Ann David. Nicol ialah pemain skuasy Malaysia yang pernah menjadi pemain skuasy wanita nombor satu di dunia. Beliau juga merupakan orang Asia pertama yang menjuarai kejohanan Remaja Dunia sebanyak dua kali. Pada Jun 2008, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Darjah Bakti(DB) kepada Nicol Ann David untuk menghargai pencapaiannya dalam bidang skuasy. Selain bidang skuasy, nama pemain badminton di Malaysia juga terkenal di dunia, khasnya Lee Chong Wei. Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton professional di Malaysia. Dia selalu menyertai pertandingan badminton di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang cemerlang. Contohnya, semasa Sukan Konmawel 2006 yang diadakan di Melbourne,Australia, Lee Chong Wei berjaya mendapat kejohanan dalam acara badminton. Selain itu, dia juga merupakan salah seorang pemain badminton yang mewakili Malaysia untuk menyertai Sukan Olimpik 2008 di China dalam acara badminton. Peningkatan pencapian yang cemerlang oleh pemain-pemain sukan berjaya menempa nama Malaysia di seantero dunia.

  Secara keseluruhannya, kejayaan manusia dalam pelbagai bidang telah meningkatkan imej negara Malaysia di seluruh dunia. Pencapaian luar biasa dalam bidang perusahaan automobil, pembinaan pencakar langit, bidang aeroangkasa, bidang pengangkutan dan perhubungan, dan bidang sukan membolehkan rakyat negara kita bertanding dengan kejayaan yang ditempa oleh orang barat. Sebenarnya kejayaan luar biasa ini juga membangkit semangat bangsa Malaysia lebih berani “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia. Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersikap sedia menghadapi segala cabaran untuk mencapai wawasan 2020. Dengan itu, rakyat Malaysia perlu berusaha gigih, bangga dan memberi sokongan sepenuhnya kepada pelbagai pihak bagi memajukan negara dalam pelbagai bidang.


Disediakan oleh Ngoi Miew Miew 6AA1

No comments:

Post a Comment