Tiga Wakil Malaysia Harumkan Nama Negara Di Peringkat ASEAN Dan Negara-Negara Pasifik
Malaysia berbangga atas kejayaan tiga peserta hafazan Malaysia yang
mewakili negara ke Prince Sultan Abdul Aziz Al-Saud Competition On the
Memorization of Quran and Sunnah for ASEAN and Pacific Countries pada 30
September hingga 4 Oktober 2010, di Jakarta, Indonesia.
Dalam pertandingan tersebut, Encik Ahmad Mujahid bin Salleh Sani,
berjaya merangkul naib johan bagi kategori 30 juzuk. Beliau membawa
pulang hadiah 15,000 Riyal Saudi berserta pakej menunaikan haji. Bagi
kategori 20 juzuk, Encik Muhammad Ezmir Kushairy bin Roslee memenangi
tempat ketiga dengan hadiah 11,000 Riyal Saudi berserta pakej menunaikan
haji, manakala bagi kategori 10 juzuk, Encik Muhammad al-Nawawi bin
Borhan turut memenangi tempat ketiga dengan hadiah 6,000 Riyal Saudi
berserta pakej menunaikan haji.
Majlis ini merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan oleh
Kedutaan Arab Saudi di Jakarta bersama Jabatan Agama Republik Indonesia.
Tahun 2010 ini adalah tahun ketiga penganjurannya dan melibatkan
peserta dari negara Asia Pasifik.
Sebelum ini, hanya peserta dari negara-negara ASEAN sahaja yang
terlibat. Bertempat di Dewan Masjid Al-Takwa, Universiti Indonesia,
Jakarta, majlis ini diadakan secara tertutup dan tidak dibuka kepada
orang awam. Bagi urusan penghakiman, ia dikendalikan sepenuhnya oleh
hakim-hakim dari Arab Saudi.
Majlis pembukaan dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia, Dr. H.
Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Presiden pada 4 Oktober 2010 dengan
dihadiri oleh duta-duta negara yang bertanding, Menteri Kabinet serta
Hakim Mahkamah Tinggi Arab Saudi. Majlis penutup dan penyampaian hadiah
di sampaikan oleh Menteri Agama Indonesia di Ballroom Hotel Grand Melia.
Pihak JAKIM mengucapkan jutaan tahniah kepada wakil Malaysia dan
berharap peserta-peserta Malaysia yang akan mewakili negara di peringkat
antarabangsa pada masa hadapan akan terus melakar kecemerlangan dan
mengharumkan nama negara di persada dunia.
No comments:
Post a Comment