welcome to pelanduk katang!

Followers

Friday, October 11, 2013

GHANA MENCONTOHI KEJAYAAN MALAYSIA

GHANA, sebuah negara barat Afrika, dan Malaysia, kedua-duanya bekas tanah jajahan Britain, mencapai kemerdekaan pada 1957. Ghana merdeka pada 6 Mac dan Malaysia pada 31 Ogos, kedua-duanya menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.
Tetapi perbezaannya, dari segi pembangunan seperti langit dengan bumi. Bapa kemerdekaan Ghana, Kwame Nkrumah dan bapa kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra, mempunyai visi yang sama untuk membebaskan rakyatnya daripada penjajahan. Kedua-dua tokoh ini melihat pentingnya kemerdekaan politik untuk membuka jalan bagi mencapai kemerdekaan ekonomi.
Malaysia sudah mencapai kemajuan pesat dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan, berkat pandangan jauh pemimpin Malaysia. Malaysia kini sebuah negara pedagang dan pengeluar yang disegani.
Dalam masa 50 tahun, Malaysia meletakkan dirinya dalam peta ekonomi dunia. Ketika ramai rakyat Ghana kini masih seperti kata pepatah, 'kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang', rakyat Malaysia pada amnya menikmati hidup sama seperti negara maju.
Kofi Annan, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang berasal dari Ghana, ketika berucap di Parlimen Ghana, baru-baru ini menyebut Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi.
"Dalam masa 50 tahun kemerdekaan, Malaysia mencapai kestabilan politik dan demokrasi yang berdaya maju. Satu daripada resipi kestabilan politik di Malaysia, pada pandangan saya, ialah formula perkongsian kuasa diamalkan di kalangan pelbagai kaum melalui Barisan Nasional (BN), gabungan parti komponen yang mengandungi Melayu, Cina, India dan kaum minoriti lain.
"Kestabilan politik menjadi asas kepada pembangunan ekonomi yang menggunakan pendekatan rancangan lima tahun, mencakupi segala aspek pembangunan. Rancangan Malaysia kini masuk ke fasa kesembilan, (RMK-9)," katanya.
Pembangunan negara Malaysia turut didokong syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas. Petronas kini yang turut beroperasi di luar negara, adalah antara syarikat besar minyak dunia. Petronas, turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia menerusi hasil keuntungan, cukai dan sebagainya.
Berbanding dengan kestabilan Malaysia, Ghana mengalami beberapa rampasan kuasa yang menjadikannya tidak stabil dan tentunya menjejaskan pembangunan negara. Rampasan kuasa pertama berlaku pada 1966, ketika saya berusia setahun. Presiden Nkrumah digulingkan ketika beliau sedang menghadiri satu persidangan di Hanoi, Vietnam Utara, ketika itu.
Pertumbuhan dalam bidang pendidikan di Malaysia sejak 17 tahun lalu ketika saya tiba di sini, sungguh menakjubkan. Malaysia kini menjadi hab pendidikan bagi pelajar antarabangsa yang datang daripada pelbagai pelusuk dunia, termasuk Asia Barat, Afrika, Indonesia, China, dan Ghana.
Saya adalah hasil pembangunan pendidikan ini. Saya terpaksa merantau jauh dari negara asal untuk menuntut ilmu di sini. Saya cukup bersyukur.
Saya sentiasa melihat diri saya sebagai 'buatan Malaysia' dari segi pendidikan dan latihan kerana saya memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Saya juga berpeluang menggunakan ilmu yang diperoleh menerusi pengajaran dan penulisan. Saya sering menulis kepada majalah Jaring dan Milena.
Malaysia patut menjadi contoh kepada negara Afrika. Negara Afrika patut belajar kembali dan terus belajar daripada pengalaman Malaysia. Pada masa ini negara selatan Afrika dan timur Afrika sedang bekerjasama baik dengan Malaysia melalui banyak bidang.
Pada hakikatnya, negara Afrika sudah lama ingin belajar dari Malaysia. Sudah tiba masanya negara Afrika melihat ke Timur, iaitu ke Malaysia.
Dasar Pandang ke Timur yang dipakai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad banyak menguntungkan Malaysia. Ketika saya belajar komunikasi (perhubungan awam), saya pernah memberitahu rakan dari Afrika yang belajar di UIAM bahawa Dr Mahathir adalah seorang Pegawai Perhubungan Awam untuk Malaysia.
Beliau melakukan kerja dengan baik, memberitahu dunia mengenainya dan pada masa sama cuba memenangi minda pelabur yang berpotensi untuk melabur di Malaysia.
Pada hakikatnya, negara Afrika mempunyai sumber yang banyak. Ghana, misalnya mempunyai sumber asli galian yang banyak meliputi emas, bijih timah, boksit dan sebagainya. Beberapa minggu lalu, kerajaan Ghana mengumumkan penemuan minyak dan gas di luar pantainya.
Malaysia, walaupun kurang dari segi sumber galian dan sumber alam lain, sudah dapat menggunakannya dengan baiknya.
Satu lagi rahsia di belakang kejayaan Malaysia ialah urus tadbir yang baik. Dalam 50 tahun kemerdekaan, pemimpin Malaysia membuktikan mereka adalah pemimpin dan pentadbir yang baik dan boleh diteladani dengan menerajui negara ini dari satu kejayaan ke satu kejayaan yang lain.
Kejayaan dicapai Malaysia pada analisis terakhir tidak boleh berlaku tanpa kerjasama rakyatnya, yang pada amnya patuh kepada undang-undang. Saya berasa rakyat Malaysia sentiasa berwaspada kerana percakaran dan bantahan seperti yang berlaku di beberapa negara Afrika membantutkan pembangunan negara-negara itu.
Saya cukup bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Malaysia tidak patut berhenti pada 2020, tetapi sebaliknya terus melakukan pembaikan kepada apa yang sudah dicapai setakat ini. Selamat maju jaya kepada Malaysia. Saya cukup berbangga dengan Malaysia.
Sumber: Berita Harian, 12 September 2007

No comments:

Post a Comment