welcome to pelanduk katang!

Followers

Friday, February 11, 2011

Wajib Lulus Sejarah Di Peringkat SPM Mulai 2013


Wajib Lulus Sejarah Di Peringkat SPM Mulai 2013


KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 
berkata syarat wajib lulus itu sama seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapat SPM.

"Kita kena bagi masa sedikit kalau tidak dia (pelajar) terkejut... 
jadi ini memerlukan tempoh masa untuk kita melatih guru dan juga menyediakan pelajar-pelajar kita untuk menghadapi sistem baru ini," katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini Sabtu.

Beliau berkata bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum 
Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran
Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah.

"Seperti yang dibangkitkan oleh wakil Perak dan 
Kedah, di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan."

Dalam hal ini, kementerian akan membuat penambahbaikan 
kandungan mata pelajaran Sejarah dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini," katanya.

Beliau berkata pentaksiran berasaskan sekolah bagi 
Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sebelum ini diumumkan mulai 2016, akan dipercepatkan ke tahun 2014.

"PMR tidak akan kita teruskan lagi tapi digantikan 
dengan sistem yang berasaskan sekolah dan ianya akan kita mulakan pada tahun 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada asalnya kerana ada tuntutan daripada tuan-tuan supaya disegerakan.

"UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pula akan 
dikekalkan tapi ditambah baikkan dengan cara-cara lebih sesuai mengikut perkembangan masa dan kehendak perkembangan ekonomi kita. Tetapi kita masih perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha-usaha untuk melatih semula guru-guru dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan menyalurkan 
peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai
aktiviti-aktiviti Yayasan Guru Malaysia Berhad, yang ditubuhkan untuk kebajikan guru-guru.

"Tadi ada wakil daripada Sabah yang telah membangkitkan 
yayasan ini yang dikatakan tidak memberikan apa-apa  insentif ataupun dividen (kepada kaum guru), saya  telahpun mengemukakan perkara ini kepada
Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebentar tadi supaya satu suntikan dana dapat
diberikan dan saya nak ucapkan terima kasih kepada beliau yang setuju supaya peruntukan sebanyak
 RM10 juta diberikan kepada yayasan ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata Yayasan Guru Tun Hussein Onn, 
satu lagi yayasan yang ditubuhkan untuk menjaga
 kebajikan guru telah diluluskan oleh Kabinet.

Rang undang-undang mengenainya akan kita bawa 
seberapa segera ke Parlimen supaya yayasan ini dapat
 mula beroperasi pada awal tahun depan. Sejumlah wang RM200 juta juga akan digunakan sebagai
 tabung atau dana untuk yayasan ini," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan 
melaksanakan KSSR yang memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran amali, keupayaan berbahasa, pembelajaran berasaskan projek dan pelbagai lagi jenis pembelajaran yang menyeronokkan mulai 2011.

"KSSR dari Tahun Satu adalah penambahbaikan 
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan ini
akan diikuti dengan Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata kementerian berhasrat untuk meningkatkan 
peratusan pelajar yang mengambil pendidikan teknik dan vokasional kepada 20 peratus (81,000 murid) menjelang 2015 berbanding 10 peratus (40,706 murid) pada masa ini.

"Peruntukan pembangunan (dalam bidang ini) 
dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)
ialah sebanyak RM340 juta, ini pastinya tidak mencukupi, pastinya kita harap dalam tempoh pusingan belanjawan  yang akan dibentangkan nanti di dalam Parlimen  jumlah peruntukan ini akan ditambah lagi pada masa akan datang.

"Ada empat sekolah vokasional baru yang akan kita bangunkan 
dalam RMK-10 dan dua lagi sekolah menengah vokasional untuk golongan murid kurang upaya pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran akan dibina.

"Selain itu, kita akan meningkatkan kompetensi guru vokasional 
dan kemahiran sedia ada secara berterusan, seramai 4,764 guru akan dilatih dan ditauliahkan kemahiran sekurang-kurangnya  mencapai minimum kemahiran Tahap 3 Sijil Kemahiran Malaysia mulai tahun 2011," katanya.


No comments:

Post a Comment