Pasangan kembar suka
bersaing
KUALA LUMPUR: Sikap suka bersaing sesama sendiri menjadi kunci kejayaan bagi pasangan kembar seiras Siti Nurdania Kamalul Arifin dan Siti Nurdalia Kamalul Arifin, 15, yang mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Siti
Nurdania dan pasangan kembar seirasnya, Siti Nurdalia antara 138 pelajar
Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, yang memperoleh 8A dalam
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam. Pasangan
kembar itu menyifatkan kejayaan mereka hasil usaha gigih selain sentiasa
menyokong antara satu sama lain dan memperuntukkan dua jam tambahan untuk
belajar secara berkumpulan dengan rakan lain.
Bagaimanapun, Siti Nurdania berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran memandangkan ketika peperiksaan percubaan dia hanya mendapat 3A berbanding kakaknya, Siti Nurdalia yang mendapat 5A.
“Saya
agak kecewa dengan keputusan percubaan dan berazam mendapat keputusan lebih
baik dengan memperbanyakkan latihan serta mengikuti kelas tambahan.
“Kami juga selalu mengulang kaji pelajaran di rumah bersama-sama selain saling memberi tunjuk ajar bagi memantapkan pemahaman dalam setiap mata pelajaran,” katanya yang tinggal Shah Alam.
Ibu, 7 beradik beri semangat
bangkit semula
SEREMBAN: “Walaupun usaha dan semangat belajar sedikit luntur selepas kehilangan ayah menjelang peperiksaan, namun saya tetap tabah mengharunginya dan ternyata membuahkan hasil,” kata Siti Nurbashirah Shafie, 15, yang memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, semalam.
SEREMBAN: “Walaupun usaha dan semangat belajar sedikit luntur selepas kehilangan ayah menjelang peperiksaan, namun saya tetap tabah mengharunginya dan ternyata membuahkan hasil,” kata Siti Nurbashirah Shafie, 15, yang memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, semalam.
Menurut
pelajar Kolej Tunku Kurshiah (KTK) itu, keputusan peperiksaan akhir tahun yang
kurang memuaskan berikutan terlalu sedih dengan pemergian bapanya, Shafie
Husain, 68, menjadi pembakar semangat kepadanya untuk bangkit semula.
“Saya sebelum ini hampir patah semangat kerana ayah yang menghidap sakit jantung pergi meninggalkan kami sekeluarga ketika PMR semakin dekat hingga turut memberi kesan kepada pelajaran saya.
“Bagaimanapun,
berbekalkan dorongan ibu dan tujuh adik-beradik lain, saya mendapat semangat
baru untuk memberi tumpuan dalam PMR hingga berjaya dengan cemerlang,” katanya
ketika ditemui Harian Metro, di sini.
Hadir sama, Pengetua Cemerlang KTK, Che Kamaliah Endud dan ibunya, Maznah Ali, 58.
Siti Nurbashirah dari Machang, Kelantan, berkata dia bersyukur dengan keputusan itu dan turut membuktikan bahawa sekali gagal tidak bermakna akan gagal selamanya.
“Saya
berharap ini titik permulaan untuk terus bangkit daripada kegagalan dan
mencapai kejayaan lebih manis kelak berbekalkan doa ibu dan keluarga,” katanya.
Selain puluhan pelajar lain, kegembiraan itu turut dikongsi anak perempuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota, Datuk Dr Awaludin Said yang turut memperoleh keputusan cemerlang 8A bagi semua mata pelajaran diambil.
Menurut
Nur Nadia, 15, dia sentiasa tekun berusaha untuk belajar setiap masa dan tidak
hanya berbuat demikian ketika menjelang peperiksaan.
“Selain itu, saya bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan kedua ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan motivasi untuk membantu berjaya dalam pelajaran bermula sejak kecil lagi.
“Saya berharap kejayaan ini akan berterusan ke peringkat lebih tinggi kelak dan tidak mahu menghampakan mereka,” kata anak keempat daripada lima beradik itu yang bercita-cita menjadi doktor.
Sementara itu, Dr Awaludin yang turut gembira berkata, beliau sememangnya sentiasa mahu memberi pendidikan terbaik kepada semua anaknya termasuk dalam bidang kokurikulum bagi memastikan masa depan mereka lebih cerah dan terjamin.
‘Bimbing satu sama lain’
KUALA
LUMPUR: Belajar berkumpulan dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar
menjadi resipi utama kejayaan empat sahabat karib yang memperoleh keputusan 8A
dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam.
Mereka
antara 24 daripada 247 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit
Bandaraya, di sini, yang mencatatkan keputusan semua A bagi setiap mata
pelajaran sentiasa mengadakan perbincangan supaya lebih memahami subjek itu.
Nadia Asyikin Muhamad Rabun, Nurul Nadiah Amiruddin, Maizatul Asyirah Makhtar dan Nurshahida S Saleh berkongsi detik kegembiraan itu selepas berusaha gigih bagi memastikan mereka mencapai keputusan cemerlang.
Nadia
Asyikin berkata, mereka memastikan mengulang kaji pelajaran bersama setiap
minggu kerana berpendapat kaedah itu lebih efektif dan mudah berikutan jika
tidak memahami sesuatu tajuk rakan sedia membantu.
“Selain itu, jika tidak faham mengenai sesuatu mata pelajaran, kami bertanyakan kepada guru. Untuk berjaya kita tidak boleh malu bertanya dan kami membimbing satu sama lain demi kejayaan bersama.
“Sebelum ini, kami memang mempunyai impian untuk cemerlang dalam PMR namun tidak menyangka impian itu menjadi kenyataan berkat usaha, doa dan dorongan guru serta keluarga,” katanya ketika ditemui selepas keputusan PMR diumumkan.
Bagi
Maizatul Asyirah, kejayaan mereka hasil usaha gigih berpanjangan selain restu
guru serta ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada mereka
untuk terus berjaya dalam peperiksaan.
“Saya berhasrat menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada tahun depan selain berharap dapat menuntut di sekolah sama.
“Kejayaan
saya hari ini juga hadiah untuk keluarga dan guru yang tidak jemu mendidik
serta menasihati kami,” katanya.
Dugaan si kembar
JOHOR
BAHRU: “Walaupun terpaksa berjauhan dengan adik yang terpaksa mengambil ujian
Penilaian Menengah Rendah (PMR) di hospital akibat disyaki menghidap denggi,
kami berdua tetap saling berhubung dan memberi semangat,” kata seorang daripada
kembar seiras yang meraih keputusan cemerlang 9A.
Ameera
Budiono, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail menyifatkan
kejayaannya anugerah tidak ternilai apatah lagi kenangan manis itu turut
dikongsi bersama adik kembarnya Athirah yang turut meraih 9A.
“Dugaan berjauhan ketika menduduki PMR kenangan amat pahit buat kami berdua sedangkan sebelum ini semua perkara dilakukan bersama apatah lagi terpaksa berpisah ketika dia sakit,” katanya.
Sementara
itu, Athirah berkata, dia bersyukur meskipun berdepan kepayahan ketika
menduduki peperiksaan dalam keadaan tidak selesa, dia dapat menempuhnya dengan
baik.
“Pada awalnya saya hampir berputus asa serta amat tertekan. “Bagaimanapun, saya semakin bersemangat apabila kakak dan keluarga sering memberi galakan.
“Kejayaan ini memang tidak dijangkakan dan ia berkat usaha kedua-dua orang tua saya yang tidak jemu mendoakan kami,” katanya.
Pasangan
kembar yang berhasrat menjadi pensyarah itu berkata, sama seperti pelajar lain,
selain menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas dan menelaah pelajaran, mereka
juga tidak mengabaikan solat serta sering berbincang dengan rakan.
SMK Sultan Ismail antara penerima anugerah Sekolah Cemerlang bagi kategori Sekolah Kawalan di Johor.
Murid terbaring cemerlang
MELAKA:
Walaupun terpaksa belajar di sekolah dalam tempoh enam jam dalam posisi
berbaring di atas kerusi roda dan hanya mampu menggerakkan tangan serta
kepalanya, namun ia bukanlah penghalang buat Hazman Shahir Samsul Kamar, 15,
untuk memperoleh keputusan membanggakan pada Penilaian Menengah Rendah (PMR)
2011 yang diumumkan, semalam.
Pelajar
tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Dol Said, Alor Gajah itu
mampu membuktikan kecacatan yang dialaminya akibat penyakit ‘spinal muscular
atrophy type II’ sejak berusia lapan bulan bukanlah mustahil untuk memperoleh
keputusan 5A 3B 1C.
Keputusan diperoleh itu mendapat A untuk Bahasa Inggeris, Geografi, Pendidikan Islam, Matematik, Kemahiran Hidup Bersepadu (Teknikal) dan B bagi Bahasa Melayu, Sejarah serta Sains sementara C bagi Bahasa Arab.
Anak
sulung daripada empat adik beradik itu membuatkan ibunya, Haslina Hassan, 41,
berbangga buat kali kedua selepas berjaya mengulangi pencapaian baik selepas
mencapai 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didudukinya
pada 2008.
Menurutnya, dia amat bersyukur dengan kejayaan itu kerana mampu membuktikan kekurangan pada dirinya bukanlah penghalang untuk belajar bersungguh-sungguh.
Katanya, kejayaan dicapai itu juga tidak akan tercapai tanpa pengorbanan ibunya dan bantuan guru serta rakan sekelas yang banyak membantu.
“Rakan
sekelas banyak membantu saya mengambil buku dan menyalin nota serta membantu
pergerakan saya yang terbatas.
“Saya hanya mampu baring sepanjang masa di atas kerusi roda dan jika di rumah, saya mengulangkaji pelajaran dalam keadaan sama serta memperuntukkan tempoh tiga jam untuk itu,” katanya selepas menerima penghargaan istimewa Jabatan Pelajaran Negeri yang disampaikan Exco Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo dan Timbalannya, Datuk Ab Rahaman Ab Karim serta Pengarah JPNM, Datuk Mohamad Yusoff Osman, semalam.
Terdahulu
sebelum itu majlis penyampaian sijil penghargaan istimewa dan keputusan PMR itu
diadakan di Auditorium Rumah Media, Ayer Keroh, di sini.
Hazman Shahir berkata, pencapaian baik dalam PMR ini adalah didorong usaha dan iltizam dalam dirinya untuk bersaing dengan pelajar lain di sekolahnya.
Katanya, dia belajar di sekolah aliran perdana dengan semua pelajarnya adalah golongan normal, tetapi dia bertekad untuk membuktikan dirinya mampu melakukan setanding dengan rakan lain.
“Bagi saya kecacatan bukanlah penghalang. Usaha dilakukan ini adalah bagi memberi motivasi kepada rakan lain dengan keadaan fizikal mereka yang normal dan mereka mampu melakukan lebih baik daripada saya.
“Mereka (yang normal) perlu bersyukur dengan apa yang dikurniakan terhadap mereka dan sepatutnya menggunakan kelebihan yang ada itu,” katanya yang bercita-cita menjadi pereka grafik dan menjadikan Pengerusi Microsoft, Bill Gates sebagai idolanya.
Sementara itu, Haslina ketika ditemui berkata, setiap hari rutinnya adalah menghantar anaknya ke sekolah dari rumahnya di Durian Tunggal, di sini, pada jarak 12 kilometer dan menunggu sehingga jam 10 pagi sebelum pulang ke rumah dan mengambilnya semula jam 2 petang.
Katanya, dia memang memberikan dorongan tinggi kepada anaknya ini untuk mencapai keputusan baik dalam PMR atau apa saja peperiksaan didudukinya sebagai cara bagi memberi semangat kepada dirinya untuk menempuh kehidupannya akan datang.
“Saya tidak mahu anak hanya terbaring saja. Dia perlu berusaha dan melakukan sesuatu untuk bangkit bagi masa depannya dan bukan seorang orang kelainan upaya (OKU) yang hanya menunggu ajalnya.
“Saya bersyukur kerana Hazman mampu membuktikan kepada semua orang dia boleh berjaya dalam kehidupannya.
“Saya amat kagum dengan semangatnya kerana mampu melakukan yang terbaik serta membanggakan saya,” katanya selain Hazman anak ketiganya, Muhammad Azwan Syarief, 12, turut menghidap penyakit sama seperti abangnya.
Usaha, doa perlu seiring
SEPANJANG
minggu lalu, boleh dikatakan jadual saya padat dengan pelbagai undangan bagi
majlis bacaan Yassin dan solat hajat khusus bagi pelajar yang bakal menduduki
peperiksaan.
Ini
sekali gus membuktikan pelajar, khususnya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memasuki fasa
‘demam peperiksaan’.
Dalam kesibukan menjalankan tugas seharian, sempat juga saya menelefon beberapa sahabat imam muda (IM) lain seperti IM Nazrul dan IM Fakrul bagi bertanyakan khabar sekali gus memastikan hubungan silaturahim yang ‘tercipta’ dalam program Imam Muda Dua itu tidak terputus begitu saja.
Daripada
perbualan bersama mereka, saya dapati mereka juga sibuk dengan undangan program
yang hampir serupa.
Saya juga terharu kerana ada pelajar menghantar komen berunsur kecewa di laman facebook saya ‘Kelab Penyokong Imam Muda Hassan’ kerana tidak berpeluang mengikuti program bacaan Yassin dan solat hajat di bawah kendalian saya.
Oleh kerana ruangan masa terhad, jujur memang saya tidak mampu memenuhi pelbagai undangan sama ada di sekolah atau masjid bagi mengendalikan program seperti itu.
Justeru,
coretan kali ini, saya tujukan khas untuk adik-adik yang bakal menghadapi
peperiksaan tahun ini.
Secara amnya, saya menyokong mana-mana penganjuran program bacaan Yassin dan solat hajat untuk pelajar yang menduduki peperiksaan.
Sebaik-baiknya
program seumpama ini hendaklah diperbanyakkan lagi supaya masjid dan surau
sentiasa kekal dalam keadaan ‘Imarah’.
Bagaimanapun, saya terpanggil untuk mengutarakan beberapa perkara kurang molek yang mungkin boleh diperbaiki lagi bagi mendapat kualiti amalan terbaik.
Ini kerana, dalam satu program bacaan Yassin dan solat hajat yang saya hadiri, perkara paling nyata yang dapat dilihat apabila ada ibu bapa hanya datang menghantar anak di pintu pagar masjid dan kemudian terus pulang ke rumah.
Selesai program, macam biasa, ibu bapa datang kembali menjemput pulang anak mereka.
Sama seperti hantar anak pergi tuisyen, mereka tidak ikut serta dalam program dianjurkan. Mungkin bagi mereka, ini program anak, bukan program ibu bapa.
Sebenarnya, program bacaan Yassin dan solat hajat seperti dianjurkan itu bukan semata-mata untuk pelajar tetapi yang lebih penting ialah pembabitan ibu bapa pelajar.
Ibu bapa sepatutnya bijak mengambil ruang dan peluang memanfaatkan program seperti ini untuk mengeratkan hubungan anak beranak.
Mereka sepatutnya sedar mengenai peranan mereka dan sesungguhnya doa daripada ibu bapa lebih afdal dan lebih mustajab di sisi Allah SWT.
Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah yang menegaskan, tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan (oleh Allah) iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.
Saya masih ingat sewaktu belajar dulu, tatkala tiba ambang peperiksaan, saya cuba sedaya upaya untuk pulang ke kampung berjumpa ibu.
Saya minta ibu doakan kesihatan fizikal dan ketenangan diri saya sepanjang menghadapi peperiksaan dan lazimnya ibu berpuasa sunat sebagai usaha dan tanda sokongannya kepada saya.
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat ibu yang benar-benar kasih dan mengambil berat mengenai diri saya.
Di sudut lain pula, saya selalu lihat adik-adik yakni pelajar yang hadir ke program itu berebut-rebut mengambil botol air yang dibacakan Yassin. Ada juga ibu bapa yang datang membawa beberapa bekas dan botol air besar sebagai tambahan untuk dibacakan Yassin.
Air ini selalunya dirujuk sebagai air penerang hati. Bagi minum kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan supaya hati mereka terang dan senang jawab kertas soalan.
Namun, adakah ini betul? Benar, air sering digunakan sebagai medium perubatan, begitu juga dalam amalan perubatan Islam. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA menyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim, 5882) Ia jelas kepada kita bahawa amalan ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam selagi mana menggunakan bacaan ayat suci al-Quran sebagaimana dinyatakan Allah dalam firman-Nya menerusi surah Al-Isra ayat 82 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan daripada Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.” Kajian saintifik profesor Universiti Yokohama, Jepun, Dr Masaru Emoto menghuraikan hasil kajian menakjubkan apabila molekul air yang dibacakan ayat suci al-Quran akan membentuk seperti berlian berkilauan cantik bercahaya berbanding air biasa.
Justeru, air yang memiliki sifat molekul baik ini jika diminum akan bercampur dengan kandungan air dalam badan kita (badan manusia mengandungi di antara 55 hingga 75 peratus air) dan dengan izin Allah mampu memberi kesan positif kepada mereka yang meminumnya.
Namun, sekali lagi saya ingin menegaskan kepada adik-adik, meminum air penerang hati ini, tetapi belajar ala kadar saja, ia bukan faktor penentu kejayaan.
Minum air penerang hati hanya sebagai ikhtiar untuk berjaya tetapi perkara paling utama adalah, kita tetap kena tekun membuat latihan dan mengulang kaji pelajaran untuk cemerlang dalam peperiksaan.
Ingat, kehadiran saya sebagai Imam Muda bagi menjayakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat hanya sebagai daya penarik atau ‘catalyst’ yang diharapkan mampu membakar semangat dan motivasi adik-adik.
Bukan disebabkan saya hadir mengimamkan solat dan doa yang saya bacakan membuatkan adik-adik lulus cemerlang.
Semuanya dengan izin Allah dan seperti saya katakan tadi, ia hanya satu daripada usaha untuk kita berjaya.
Paling penting, lakukan sesuatu dengan niat kerana Allah dan bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk, untuk membalas dendam atau sebagainya.
Baru-baru ini saya menerima e-mel daripada seorang pelajar yang bertanya mengenai pengalamannya melihat beberapa rakan suka melawan cakap orang tua, tidak menunaikan solat dan terbabit dengan pergaulan bebas, tetapi tetap berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.
Pelajar ini seakan-akan kecewa kerana selama ini dia bekerja keras menelaah dan mengulang kaji pelajaran serta taat dengan perintah agama, tetapi keputusan peperiksaannya tidak seperti diharapkan.
Dalam hal ini saya suka berpesan kepada adik-adik, jangan kita sesekali bersangka buruk kepada Allah. Ini kerana perkara begini selalunya dirujuk sebagai ‘Istidraj’.
Jadi, apa itu Istidraj? Istidraj adalah perkara luar biasa yang dikurniakan Allah kepada seseorang tetapi dengan tujuan mungkin Allah ingin membinasakannya. Selalunya mereka yang berjaya cemerlang tetapi ingkar dengan perintah Allah… hidup mereka tidak tenang dan tenteram.
Ilmu yang ada tidak memberi manfaat dan kebaikan dalam hidup mereka. Bahkan kebijaksanaan yang mereka dimiliki hanya merosak dan menyesatkan orang lain.
Akhir kalam, sentiasalah kita bermohon kepada-Nya ketika senang mahupun susah tanpa jemu. Bila doa kita akan dimakbulkan, bukan urusan kita. Itu urusan Allah.
Imam Al Qardawi pernah menyatakan hal ini iaitu: “Penerimaan Allah terhadap sesuatu doa ada syaratnya. Makbulnya doa ada jangkamasa dan ada waktunya tertentu. Allah SWT akan makbulkan doa orang pada waktu yang dikehendaki-Nya dan dengan cara yang dikehendaki-Nya.”
No comments:
Post a Comment